Assalamualaikum...
Salam sahabat kepada semua, satu dimensi baru dalam diri saya, blog dibina untuk menyampaikan idea, pendapat yang mampu dikongsi bersama, kritikan yg memberi sumbangan kepada negara, walau sedikit yg boleh diberinya.....
Nama diberi Khairulfadli bin Khairruddin, lahir di Muar Johor, pada 26 September 1987, dan sekarang menetap di Taiping. Seorang mahasiswa di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mengambil jurusan Sains Pertanian, satu bidang yang satu masa dulu dianggap tiada masa depan, gagal untuk menyumbang kepada ekonomi negara, dan seringkali dikaitkan dengan kemiskinan.
Sebagai mahasiswa (walaupun sekarang lebih ramai yang menggunakan perkataan 'pelajar'), saya melihat sesuatu perkara yang berlaku di dalam negara dan juga dunia, sebagai sesuatu yang perlu diambil berat oleh mahasiswa, terutama dalam bidang politik, ekonomi dan perkembangan sosial.
Dalam hal ini, mahasiswa tidak boleh menganggap bahawa mereka tidak perlu untuk memikirkan perkara-perkara ini, dengan menjadikan usia dan kesibukan belajar sebagai alasan. Sebenarnya, sama ada kita sedar atau tidak pemikiran ini pada pandangan saya adalah berbahaya untuk masa depan negara. Alasannya mudah, golongan muda ini, yang dianggap terpelajar biasanya akan diberi peluang yang lebih besar untuk memasuki pasaran kerjaya, kehidupan bermasyarakat, dan kebiasaannya, golongan ini jugalah akhirnya nanti menjadi pembuat-pembuat dasar. Selain itu, golongan ini juga yang sering dijadikan rujukan untuk mengetahui sesuatu isu daripada masyarakat marhain, disebabkan satu pemikiran tipikal yang sering meletakkan label bahawa mahasiswa mengetahui lebih banyak berbanding dengan yang lain.
Bayangkan, jika isu yang ditanya itu gagal dijawab oleh mahasiswa, dan yang lebih teruk lagi, golongan ini memberikan satu penjelasan yang sama sekali salah, tidak tepat dan masyarakat mempercayainya.... Tidak kah ini berbahaya kepada masa depan negara?
Jangan lupa, kita juga adalah golongan yang sering diletakkan harapan untuk membangunkan negara, dan jika kita tidak mengetahui isu-isu yang berlaku di sekeliling kita, bagaimana kita hendak bergerak, seiring dengan perkembangan semasa, padahal setiap tindakan yang kita lakukan sebenarnya berkait rapat dengan keadaan yang berlaku pada waktu itu, sama ada dari segi sosial, ekonomi dan juga politik. Acap kali pergerakan mahasiswa sebenarnya dibataskan oleh polisi2 dan dasar2 yang sedia wujud, dan sering kali berubah, begitu juga dengan keadaan semasa yang tidak pernah statik.
Jadi, tolong beritahu saya wahai rakan2 sekalian, bagaimana anda boleh menyatakan dengan yakin dan tenang, kita tidak mempunyai kaitan dengan itu semua? Tolonglah bangkit wahai rakan-rakan, kecualilah anda memang berhasrat untuk terus terperosok di bawah tempurung, tanpa mahu menikmati semula cahaya dengan anggapan tempurung itu terus selamat, dan leka dengan fantasi sendiri, yang cuba diterjemahkan menjadi realiti.
Insya'allah, di masa akan datang, saya akan memberikan contoh2 yang lebih jelas kaitan antara isu-isu semasa yang berlaku dengan diri kita sebagai seorang mahasiswa. saya akhiri dengan menyeru rakan2 seangkatan supaya mengubah sikap kita, mulai lah dengan menjadikan tabiat membaca akhbar sebagai satu rutin tetap dalam diari hidup anda, wassalam.
"Harimau muda yang Tidak Perlu Mengaum"
Monday, February 2, 2009
Subscribe to:
Comments (Atom)